top of page

KENYATAAN AKHBAR: MAKLUM BALAS WAKIL TETAP MALAYSIA KE PBB TERHADAP KOMUNIKASI YANG DIKEMUKAKAN OLEH PELAPOR KHAS MENGENAI HAK KEPADA MAKANAN TERHADAP HAK PETANI TIDAK MEWAKILI KEADAAN SEBENAR

KENYATAAN AKHBAR | 30 MEI 2024 | KUALA LUMPUR


MAKLUM BALAS WAKIL TETAP MALAYSIA KE PBB TERHADAP KOMUNIKASI YANG DIKEMUKAKAN OLEH PELAPOR KHAS MENGENAI HAK KEPADA MAKANAN TERHADAP HAK PETANI TIDAK MEWAKILI KEADAAN SEBENAR DI LAPANGAN


Kami merujuk kepada maklum balas Kerajaan Malaysia[1] terhadap dokumen komunikasi yang dikeluarkan oleh Michael Fakhri[2], Pelapor Khas Hak kepada Makanan berhubung cadangan bagi Malaysia untuk menyertai Akta 1991 Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV 91) sebagai sebahagian daripada rundingan perjanjian perdagangan antara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA yang terdiri daripada Iceland, Liechtenstein, Norway, Switzerland) dan Malaysia. Kami berkongsi kebimbangan yang sama dengan Pelapor Khas terutamanya mengenai perkara berikut:


1.     UPOV 1991 adalah sistem perlindungan varieti tumbuhan (PVP) yang berat sebelah dengan memihak kepada pembiak baka tumbuhan komersial. UPOV 91 secara mutlak melindungi hak pembiak baka komersial dan mengehadkan hak tradisional dan aktiviti petani kecil. Standard bagi perlindungan di bawah UPOV 1991 mengecualikan atau mengabaikan amalan penting seperti pertukaran benih tempatan dan perkongsian dalam dan antara komuniti. Panduannya mengenai “pertanian sara diri” mengabaikan amalan adat petani sara diri.

 

2.     Penyimpanan benih, satu pengecualian pilihan dalam UPOV 1991, ia terhad kepada kebun petani (selalunya kecil di negara membangun) dan tertakluk kepada syarat. Ia memberi tumpuan kepada tanaman dengan tradisi menyimpan bahan yang dituai, tidak termasuk spesies/varieti tertentu daripada amalan itu . Ini membawa kepada sekatan lanjut ke atas varieti, saiz kebun/tanaman, dan sebagainya, melarang pertukaran atau penjualan benih dalam kalangan petani.

 

3.     Petani kecil menghadapi sekatan dalam menyesuaikan benih dengan keperluan tempatan melalui kaedah “pemilihan”, yang penting bagi penyesuaian perubahan iklim apabila varieti dilindungi di bawah undang-undang PVP yang bedasarkan kepada UPOV 1991.

 

4.     UPOV 1991 mengenakan hak harta intelek ke atas varieti tumbuhan, membolehkan syarikat korporat memonopoli dan menuntut pemilikan ke atasnya. Ini boleh merugikan petani  kecil.

Sebagai tambahan kepada perkara di atas, kami berasa amat bimbang dengan maklum balas wakil tetap Malaysia ke PBB mengenai penggunaan istilah “keistimewaan petani” dan bukannya ‘hak petani’ dalam dokumen maklum balas itu. Amat membimbangkan apabila diperhatikan kurangnya pengakuan dan pengiktirafan petani di Malaysia, yang hak mereka (bukan keistimewaan) telah diiktiraf secara jelas dalam pelbagai instrumen antarabangsa, termasuk ITPGRFA dan Deklarasi PBB mengenai Hak Petani (UNDROP). Kami bimbang dengan implikasi teknikal dan perundangan terhadap penggunaan istilah ‘keistimewaan’ dan bukannya ‘hak’, membayangkan dengan sengaja menjejaskan hak undang-undang petani kecil berhubung dengan akses kepada benih.


Dalam maklum balasnya, wakil tetap Malaysia berkata Petani di Semenanjung Malaysia, dalam temu bual, menyuarakan bahawa mereka lebih suka membeli kumpulan benih baharu bagi setiap tanaman baharu memandangkan penyimpanan dan penyelenggaraan benih memerlukan kemahiran dan keadaan cuaca yang sesuai untuk memastikan kualiti percambahan dan bebas daripada makhluk perosak dan penyakit. Kami mempersoalkan kriteria pemilihan pensampelan petani yang ditemu bual, kerana ini mungkin merupakan perwakilan petani di kawasan jelapang yang sudah bergantung kepada sokongan kerajaan (seperti subsidi benih) atau komersial berskala besar dan tidak menggambarkan petani bukan di kawasan jelapang, termasuk komuniti petani orang asli di seluruh Malaysia.


Laporan kami bertajuk “The Potential Impact of UPOV 1991 on The Malaysian Seeds Sectors, Farmers and Their Practices[3] yang diterbitkan pada 2023 menunjukkan bahawa 33.5% pesawah di negeri Semenanjung, Kedah dan Perak menyimpan benih dari ladang mereka. Antara mereka yang menyimpan benih mereka, 83.58% melakukannya kerana mereka percaya bahawa kualiti benih terjamin, dan mereka berpuas hati dengan benih yang mereka proses sendiri. 16.41% lagi menyimpan benih untuk menjimatkan kos. Daripada amalan menyimpan benih ini, mereka mampu untuk menyimpan 10% hingga 20% daripada hasil tuaian mereka dan mempunyai pilihan untuk menggunakan semula, berkongsi dan menjual benih yang disimpan di ladang mereka.


Sementara itu di negeri Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak, beberapa siri temu bual yang dijalankan dalam kalangan 40 pesawah mendedahkan penyimpanan dan pertukaran benih menjadi amalan biasa dalam kalangan petani yang menggunakan benih padi tradisional atau subsidi kerajaan (sebahagian daripadanya dilindungi PVP). Dalam kes kedua, penyimpanan benih dianggap perlu kerana kelewatan berterusan dalam pengedaran benih oleh kerajaan.

Terdapat juga kebimbangan mengenai penyelewengan sumber genetik tempatan memandangkan peningkatan minat dalam mengkomersialkan varieti tradisional. Mengenai biopiracy, akta UPOV 1991 menyatakan bahawa hak pembiak baka mestilah bebas daripada sebarang langkah berkaitan pengeluaran, pensijilan, pemasaran, pengimportan atau pengeksportan varieti, oleh itu menolak sebarang jenis pendedahan negara asal atau asal usul sumber genetik yang sah sebagai syarat bagi pemberian perlindungan varieti tumbuhan. Ini mewujudkan cabaran besar bagi Malaysia dengan berkenaan pengoperasian  haknya di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) dan Protokol Nagoya mengenai Akses dan Perkongsian Manfaat. Khususnya. Ia akan mewujudkan kelemahan besar berhubung pematuhan undang-undang terhadap Akta 795.


Amalan menyimpan, menggunakan, menukar dan menjual benih juga diusahakan oleh petani kecil sayur-sayuran dan petani buah-buahan. Kami mengadakan temu bual dengan 10 petani sayur-sayuran dan buah-buahan di Semenanjung dan Malaysia Timur. Kami mendapati selain daripada menanam tumbuhan varieti tradisional atau spesies tumbuhan tempatan seperti cekur manis, sambung nyawa, kaduk, gajus, serai kayu dan ulam raja, mereka juga menanam varieti moden seperti cili, terung, petola, bendi, jambu batu, labu air, kacang hijau, tomato, betik, selasih dan marigold.


Pada tahun ini, sempena Hari Benih Antarabangsa yang disambut pada 26 April setiap tahun, seramai 200 penyelamat benih tempatan dan antarabangsa telah berkumpul di Persidangan dan Pameran Agroekologi Antarabangsa mengenai Sistem Benih Komuniti yang diadakan di Bangi. Bertentangan dengan kepercayaan umum bahawa komuniti penyimpan benih adalah kecil dan tidak penting, persidangan kali ini membuktikan sebaliknya apabila Projek Inisiatif Rizab Benih Komuniti (IRBK) setakat ini telah merakamkan kisah 90 penyimpan benih dari Malaysia iaitu 59 individu dan 31 pertubuhan.


UPOV 1991 mentakrifkan semula hak petani untuk menyimpan, menggunakan dan menukar benih atau bahan pembiak baka yang dilindungi. Ia membentangkan hak ini sebagai keistimewaan pilihan yang negara anggota boleh memilih untuk dilaksanakan. Ia menetapkan had yang ketat. Sebagai contoh, di bawah UPOV 91, menyimpan benih hanya boleh dilakukan bagi tanaman tertentu dan mestilah “di dalam had yang munasabah dan tertakluk kepada perlindungan kepentingan sah pembiak baka”. Ini bermakna hak pembiak baka diutamakan berbanding amalan tradisi petani. UPOV 1991 seterusnya melarang pertukaran dan penjualan benih yang diiktiraf secara jelas dalam Perjanjian Antarabangsa Sumber Genetik Tumbuhan bagi Makanan dan Pertanian (ITPGRFA). Sebagai pihak kepada ITPGRFA dan mengambilkira UNDROP, Malaysia mempunyai hak untuk melaksanakan Hak Petani yang merangkumi hak untuk menyimpan, menggunakan, dan menukar dan menjual benih yang disimpan dari ladang/bahan pembiak baka.


Seperti yang dinyatakan dalam maklum balas, kami sedar bahawa pada 2005, Jabatan Pertanian Malaysia telah meminta pemeriksaan Akta PNPV 2004 bagi pematuhan dengan UPOV 1991. UPOV menjawab permintaan ini dengan mengenal pasti pindaan kepada sekurang-kurangnya 13 seksyen Akta untuk dibawa supaya ia selaras dengan UPOV 1991. Oleh itu menyertai UPOV bermakna semakan utama Akta PNPV 2004 yang memerlukan pemadaman peruntukan yang mencerminkan kepelbagaian sistem pertanian Malaysia, melindungi hak petani dan orang asli untuk bebas menyimpan, menggunakan, menukar dan menjual benih yang disimpan di ladang /bahan pembiak baka, mengelakkan penyelewengan sumber genetik tempatan, dan memastikan ketersediaan benih yang mencukupi tepat pada masanya pada harga yang berpatutan.


Untuk mewajarkan Malaysia menyertai UPOV 1991, penyokongnya dan syarikat pertanian multinasional mendakwa ia akan menyediakan akses yang lebih mudah kepada varieti tanaman dan sumber genetik tumbuhan yang lebih baik, membolehkan lagi pembiakan baka secara tempatan, meningkatkan bilangan dan kepelbagaian pembiak baka tempatan, memudahkan akses kepada pasaran global dan meningkatkan daya saing. Walau  bagaimanapun, dakwaan itu tidak berdasarkan bukti, memandangkan banyak kajian di seluruh dunia, menunjukkan bahawa sistem benih yang kukuh tidak bergantung kepada UPOV 1991. Kajian juga menunjukkan bahawa sistem PVP jenis UPOV mewujudkan pasaran benih tertumpu dan mengurangkan inovasi pertanian dan biodiversiti sambil mempertaruhkan keselamatan dan kemampanan makanan.


Di peringkat global terdapat tentangan besar terhadap UPOV 1991, dengan ramai pakar menyatakan bahawa ia tidak sesuai bagi sistem pertanian yang wujud di negara membangun dan bagi merealisasikan Hak Petani dan hak asasi manusia lain yang berkaitan seperti hak untuk mendapatkan makanan.


Menyalin sistem UPOV ke dalam Akta PNPV baharu yang dicadangkan itu akan menjadi penafian hak petani dan orang asli terhadap amalan menyimpan, berkongsi dan menjual benih yang disimpan di ladang. Ia akan menggalakkan monopoli, memudahkan monokultur dan membawa kepada kehilangan lebih banyak pengetahuan dan kebijaksanaan pertanian tempatan. Sistem UPOV akan memberi kesan buruk kepada amalan sosiobudaya dan status sosioekonomi petani serta kepelbagaian dan keselamatan pengeluaran makanan negara. Kerajaan tidak boleh mengabaikan kepentingan biodiversiti pertanian, keterjaminan makanan, hak petani dan akses kepada makanan yang baik, berkhasiat dan mampu milik bagi semua rakyat Malaysia.


Kami menggesa Kerajaan Malaysia untuk mengikut contoh Indonesia yang telah memaklumkan kepada Pelapor Khas Hak kepada Makanan bahawa ia tidak akan menyertai UPOV 1991 atas banyak sebab yang telah kami ketengahkan di atas.

 

FORUM KEDAULATAN MAKANAN MALAYSIA (FKMM)  

 

Nurfitri Amir Muhammad                                            foodsovereignty.malaysia@gmail.com

Ketua Koordinator, FKMM


Kenyataan ini disokong oleh:


1.     BioHydro

2.     Consumer Association of Penang (CAP)

3.     Damai Farm ville

4.     Ecocentric Transitions

5.     Fitrah Farm

6.     GRASS Malaysia

7.     IDRIS Association

8.     Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI)

9.     Jungle family

10.  Justlife Workers Co-Op

11.  KebunBandar

12.  Klima Action Malaysia (KAMY)

13.  Komuniti Pondok Sukun (KomPoS)

14.  Koperasi Kongsi Selangor Berhad

15.  Malaysia Demeter Association

16.  Merryganic Farm

17.  Min House Camp

18.  Natural Farming Association of Malaysia (NFAM)

19.  Nubex Sdn Bhd

20.  Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas)

21.  Persatuan Aktivis Sahabat Alam - KUASA

22.  Persatuan Pertanian Alami Kelantan (ALAMI)

23.  Persatuan Usahawan Tani Cinta Alam Kelantan (PUNCAK)

24.  Pertubuhan Lestari Alam Selangor (Alam Selangor)

25.  Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)

26.  Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia)

27.  Post Ark

28.  Rasa Sayang Permaculture Estate

29.  Rishi Organix

30.  Sahabat Alam Malaysia (SAM)

31.  Semaian Rimba Forestry

32.  The Lord’s Garden

33.  Taman Sara (Kebun Komuniti Masjid al-Rasyidin)

34.  Third World Network (TWN)

35. Langit Collective

36. Eat Shoots and Roots






7 lihatan

コメント


bottom of page