top of page

Lebih Banyak Berkongsi, Lebih Maju Dan Berkembang Industri Benih Malaysia

Updated: 29 Sep 2023



Industri benih tumbuhan di Malaysia sangat dikawal oleh sistem benih yang formal. Sistem benih formal terlalu mengawal hak pengeluar benih untuk memonopoli dan kononnya ini akan menggalakkan inovasi. Inovasi seperti ini didorong oleh keuntungan, lebih banyak mereka berahsia dan lebih ketat mereka mengawal, lebih untung yang mereka dapat. Kebanyakan benih tumbuhan yang beredar di pasaran diperoleh daripada kilang benih komersial dari dalam dan luar negara. Benih penting seperti padi dihasilkan secara tempatan tetapi dikawal lebih ketat kerana melibatkan sistem subsidi keterjaminan makanan yang memerlukan pesawah hanya menggunakan benih yang disahkan secara komersial untuk mendapat subsidi benih. Walaupun masih ramai petani yang menjalankan aktiviti tradisional menyimpan, berkongsi dan menjual benih antara satu sama lain, aktiviti tersebut tidak diiktiraf dengan sewajarnya oleh kerajaan kerana kekurangan data yang diterbitkan mengenai aktiviti tersebut. Akibatnya, pesawah yang menyimpan dan memproses benih sering terpinggir kerana dinafikan subsidi dan tidak dikira dalam skim kerajaan.

Diskriminasi ini memuncak apabila terdapat rancangan kerajaan untuk meminda Akta Perlindungan Varieti Tumbuhan Baru 2004 (PNPV 2004) agar selaras dengan Akta Konvensyen UPOV 1991. PNPV 2004 mengiktiraf hak petani kecil untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih manakala UPOV 1991 melarang sebahagian besar aktiviti seperti ini kerana syarikat benih mempunyai hak monopoli ke atas benih yang mereka hasilkan. Lebih malang, satu lagi undang-undang baharu turut dicadangkan iaitu Rang Undang-Undang Kualiti Benih yang mewajibkan semua individu yang ingin memproses benih memiliki lesen atas alasan penyakit-penyakit tumbuhan yang timbul adalah berpunca daripada para petani dan individu yang memproses sendiri benih mereka. Ini adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan berbentuk mendiskriminasi.

Ketiadaan pangkalan data rasmi yang boleh dipercayai dan ketidakpastian bilangan petani yang mengamalkan aktiviti menyimpan, berkongsi dan menjual benih adalah masalah yang perlu ditangani oleh pihak berwajib dan juga para petani dan penyimpan benih sendiri. Pengkalan data ini perlu berfungsi sebagai alat untuk penyelidikan, rangkaian dan latihan untuk menggalakkan aktiviti menyimpan, berkongsi dan menjual benih dalam kalangan petani yang merupakan sebahagian daripada ekosistem agroekologi dan sekaligus memperjuangkan hak petani untuk menyimpan, memproses, berkongsi dan menjual apa jua jenis benih yang ada dalam negara. Bercanggah dengan kepercayaan banyak pihak yang mahu mengawal perkongsian benih dan hanya bergantung kepada inovasi benih berasaskan ujikaji saintifik di makmal dan ladang-ladang kajian, kemajuan dan kepelbagaian industri benih sebenarnya bergantung kepada luasnya amalan perkongsian benih sesama kita, baik benih komersial mahupun benih tradisi. Perkongsian ini mestilah berasaskan persefahaman yang sama mengenai kepemilikan-bersama dan faedah-bersama, bukan bersifat mengambil kesempatan dan penting diri.

Benih yang tersimpan lama, yang tidak dikongsi dan tidak beredar dalam ekosistem hutan, ladang, kebun dan persekitaran rumah akan hilang keupayaanya untuk beradaptasi dengan perubahan keadaan cuaca, tanah dan air. Bukan itu sahaja, perubahan jenis-jenis da kerintangan perosak dan penyakit juga perlu diberi perhatian kerana ia berlaku dengan lebih cepat. Seperti juga manusia dan haiwan yang tidak pernah keluar rumah akan mudah sakit apabila berada diluar, benih tumbuhan yang disimpan dan tidak dikongsi, lama kelamaan akan hilang ciri-ciri istimewanya dari satu generasi ke generasi yang lain.

30 lihatan

Benih Komuniti

©2024 by Benih Komuniti

  • Facebook
  • Instagram
  • X
  • TikTok
  • Mail-Icon-White-on-Black (1)

Dikuasakan Oleh

bottom of page